Boling padang tambah emas lagi


shadow

CLARK: Percaturan jurulatih skuad boling padang negara untuk menukar strategi menurunkan atlet berpengalaman Fairul Izwab Abd Muin dalam acara fours lelaki membuahkan hasil.

Ini selepas dia berjaya membantu pasukan fours lelaki negara membolot pingat emas di Friendship Gate, di sini, sebentar tadi selepas menewaskan Brunei 24-6 untuk menghadiahkan pingat emas ke-19 buat kontinjen Malaysia.

Ternyata pengalaman Fairul yang sudah membuat empat penampilan di temasya terbesar Asia Tenggara itu menjadi pemisah apabila dia berjaya mengekalkan ketenangan tiga lagi rakannya – Zulhilmie Redzuan, Daeng Dhadyry Dahasry dan Muhammad Idham Amin.

Kejayaan itu secara tak langsung menyaksikan pasukan fours lelaki negara berjaya dalam melunaskan kehampaan pada edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur selepas sekadar meraih perak.

Bagaimanapun, ia tidak cukup untuk menjulang kem boling padang negara memenuhi sasaran lima pingat emas yang ditetapkan selepas hanya menutup gelanggang boling padang dengan empat pingat emas.

Sementara itu, pasukan triples wanita negara berpuas hati dengan pingat gangsa selepas berhempas pulas menewaskan Brunei 17-15.

Tinggalkan komen anda