MUNICH, Jerman: Bayern Munich hari ini menjadi kelab Jerman pertama menang semua enam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan kejayaan 3-1 di laman sendiri mengatasi skuad Jose Mourinho, Tottenham.
Kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir namun kemenangan memberikan kelegaan buat jurulatih sementara, Hansi Flick selepas juara Jerman itu tewas dua saingan Bundesliga.
Kingsley Coman, yang mengalami dua kecederaan pergelangan kaki pada 2018, meletakkan Bayern di depan dekat Allianz Arena sebelum dikeluarkan selepas 27 minit kerana kecederaan lutut.
Walaupun pemain remaja, Ryan Sessegnon menyamakan kedudukan dengan jaringan pertamanya buat Spurs, pengganti Coman, Thomas Mueller memastikan kelebihan Bayern sebelum tamat babak pertama.

Selepas sejam permainan, Philippe Coutinho menjaringkan gol ketiga Bayern dengan rembatan kencang ke penjuru gawang Spurs.
“(Kami) rmemang mahu menang untuk mengesahkan kepada diri kami sendiri bahawa kami melakukan perkara yang betul,” kata Mueller. “Kadangkala kami sedikit tidak bernasib baik.”
“Kami hanya boleh bersimpati dengan Kingsley, kecederaannya nampak sangat tidak bagus,” kata Mueller mengenai pemain Perancis itu.
Bayern membelasah Spurs 7-2 di utara London apabila kedua-dua kelab bertemu pada Oktober, tetapi kali ini agak berbeza apabila kedua-dua pasukan merehatkan bintang penyerang mereka. – AFP

Tinggalkan komen anda