KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berpuas hati apabila dapat merekodkan masa konsisten di bawah 10 saat bagi acara pecut pada Piala Dunia yang berakhir di Hong Kong, semalam.
Azizulhasni yang tidak menyertai dua siri Piala Dunia awal di Belarus dan Britain, kembali dalam kejohanan kompetitif pada Piala Dunia di Velodrom Hong Kong yang bermula Jumaat lalu dengan menempatkan diri di kedudukan keenam acara keirin selepas merekodkan masa terpantas 9.948 saat sementara dapat mencatat 9.841s pada pusingan kelayakan pecut semalam.
“Untuk acara pecut semalam, saya amat gembira kerana dapat mencatat 9.841s. Di perlumbaan pertama saya untuk musim ini di Kejohanan Berbasikal Asia di Korea (Ogos lalu), saya mencatat 9.977 saat,” kata Azizulhasni dalam status Facebook hari ini.
“Oleh itu catatan kali ini adalah catatan terpantas saya untuk musim pada tahun ini. Konsisten membuat catatan di bawah 10 saat dan catatan masa yang semakin baik, saya nampak ianya akan bertambah baik daripada masa ke semasa.”
Pelumba yang diberi jolokan The Pocketrocketman itu berkata, dia bersama pasukan berbasikal negara di Hong Kong sedang dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang untuk perjalanan 11 jam menuju ke New Zealand bagi saingan Piala Dunia di Cambridge yang akan berlangsung hujung minggu ini.
“Harus diingat, kejohanan yang terpenting adalah Kejohanan Dunia di Berlin pada penghujung Februari tahun hadapan dan siri Piala Dunia ini adalah persiapan bagi Kejohanan Dunia itu nanti,” katanya.
Mengenai perlumbaan pecut semalam, Azizulhasni kandas di pusingan kedua ketika bertemu pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya dengan lawannya itu merekodkan 9.939s.
“Saya tertewas kerana membuat sedikit kesilapan taktikal ketika perlumbaan dan saya melihat kesilapan tersebut akan memberikan kebangkitan kepada saya di Cambridge nanti,” katanya.
Tinggalkan komen anda