Atletico lega sahkan kemaraan


shadow

MADRID: Atletico Madrid mengurangkan tekanan apabila layak ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi selepas menewaskan Lokomotiv Moscow 2-0 untuk menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan D.

Kieran Trippier terlepas penalti awal permainan di Wanda Metropolitano tetapi sepakan penalti kedua Atletico memberikan peluang buat Joao Felix dan dia tidak membuat kesilapan.

“Joao semakin meningkat, dia memberikan sumbangan besar buat pasukan,” kata Diego Simeone selepas perlawanan.

“Tapi kami perlu meningkatkan keserasian antara penyerang, kami perlu beraksi lebih baik untuk menyudahkan lebih banyak peluang.”

Voli akrobatik Felipe sejurus bermula babak kedua menafikan terus peluang Lokomotiv dan mengesahkan kemaraan Atletico di depan Bayer Leverkusen, yang tewas kepada juara kumpulan Juventus.

Pemain Atletico Madrid, Felipe (kanan) melakukan sepakan voli menewaswkan penjaga gol Lokomotiv Moscow untuk gol kedua pasukannya. – Foto REUTERS

“Bukan mudah untuk sampai ke-16 terakhir tetapi kami perlu melakukannya sekali lagi,” kata Simeone.

Menamatkan saingan di tangga kedua kejohanan kali ini hampir memastikan lawan sukar pada peringkat kalah mati dengan Paris Saint-Germain, Bayern Munich, Manchester City, Liverpool dan Leipzig semuanya menanti pada undian Isnin ini.

Secara teori, Leipzig atau Bayern mungkin lawan paling mudah tetapi Atletico pasti perlu menemui rentak berbeza pada Februari jika mereka mahu mengelak tersingkir pada peringkat sama seperti tahun lalu. – AFP

Tinggalkan komen anda