LONDON: Jose Mourinho terselamat dari kebimbangan besar di laman sendiri selepas bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Olympiakos 4-2 pagi tadi sekali gus mara ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara.
Juara Greece itu membuka peluang untuk mereka mara ke pusingan kalah mati selepas dua kali membocorkan gawang tuan rumah dalam tempoh 20 minit babak pertama menerusi Youssef El Arabi dan Ruben Semedo.
Namun Dele Alli membalasnya selepas kesilapan pertahanan pelawat yang membolehkan Spurs menghela nafas lega sebelum rehat sebelum dua jaringan Harry Kane dan Serge Aurier memastikan kebangkitan sempurna.
Finalis musim lalu itu sudah boleh mencongak peluang seterusnya selaku naib juara Kumpulan B di belakang Bayern Munich yang muncul juara kumpulan selepas membelasah Red Star Belgrade 6-0 pagi tadi.
Spurs setakat ini sudah menjaringkan tujuh gol sejak dua aksi di bawah kendalian Mourinho dan memberi gambaran positif kepada penyokong yang kembali teruja melihat perubahan yang dilakukan bekas pengurus Chelsea yang terkenal dengan gaya bola sepak konservatifnya.

Pemain Olympiakos, Ruben Semedo (tengah) menewaskan penjaga gol tottenham Hotspurs, Paulo Gazzaniga untuk gol kedua pasukannya pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. – Foto AFP
Bagaimanapun, tempoh 20 minit pertama membuktikan anak buah Mourinho perlu membaiki kelemahan andainya mahu menjadikan Tottenham pasukan berjaya.
Tanda amaran muncul buat tuan rumah pada minit keenam apabila El Arabi mudah melepasi perangkap untuk meledak gol pertama dari petak penalti meskipun sempat disentuh Paulo Gazzaniga.
Mujur ketangkasan Davinson Sanchez menafikan cubaan Daniel Podence daripada menambah peluang pelawat hasil kelonggaran bahagian tengah.
Spurs sekali lagi ketinggalan 2-0 apabila Semedo diberi ruang melepaskan rembatan melepasi kawalan Guilherme.
Mourinho bagaimanapun membuat pertukaran dengan menggantikan Eric Dier dengan Christian Eriksen.
Namun, kesilapan besar Olympiakos membolehkan tuan ruma memanfaatkan peluang untuk kembali berada di landasan.
Hantaran lintang Aurier ke penjuru kanan cuba dikawal Yassine Meriah, tapi bola melepasi celah kakinya untuk Alli menolak masuk mengurangkan defisit gol menuju rehat.
Jaringan itu mencetus kebangkitan pada babak kedua dan menemui sasaran lima minit selepas aksi bersambung.
Tindakan pantas Aurier memerangkap benteng Olympiakos selepas pemain kelahiran Ivori Coast mengumpan bola tepat kepada Lucas Moura sebelum disudahkan oleh Kane.
Aurier sekali lagi muncul wira 17 minit sebelum tamat perlawanan apabila menyudahkan hantaran lintang Alli untuk Spurs melakar gol keempat. – AFP

Pemain Tottenham, Serge Aurier (kanan) merembat lalu membolosi gawang Olympiacos pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. – Foto EPA
Tinggalkan komen anda