Skuad floorball wanita negara terkulai lagi


shadow

MANILA: Pintu sudah tertutup buat skuad floorball wanita negara untuk mara ke final selepas mengalami kekalahan kedua apabila tunduk di tangan juara bertahan, Singapura 2-8 di Gimnasium Universiti Filipina di sini, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan skuad bimbingan Rizal Razman berdepan misi wajib menang dalam baki dua perlawanan menentang Indonesia dan Filipina untuk sekurang-kurangnya layak beraksi pada penentuan pingat gangsa.

Semalam, anak buah Razman terpaksa akur apabila tewas 2-8 di tangan Thailand dalam aksi pembukaan saingan yang dijalankan secara liga sepusingan itu.

“Kami tiada pilihan selain bekerja keras bagi memenangi baki dua perlawanan terakhir pusingan awal. Ini penting untuk memastikan kekal bersaing bagi memenangi gangsa,” kata pengurus pasukan, Nur Farah Mustafa.

Malaysia akan bertemu Indonesia esok sebelum menentang Filipina Jumaat ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kekalahan di tangan Singapura, Rizal berkata risiko yang diambil dengan memberi tekanan awal kepada lawan itu nyata tidak menjadi buat pemainnya.

“Hari ini kami bermain menentang pasukan pilihan dan kami mengambil risiko untuk bermain secara menyerang kerana kami memerlukan kemenangan namun ia tidak menjadi.

“Selepas terikat 1-1 kami ada peluang untuk mendahului namun kami gagal menyempurnakan dua percubaan terbuka. Selepas itu, mereka menjaringkan dua gol dan sukar untuk kami mengejar,” kata Rizal.

Tinggalkan komen anda