Skuad floorball tumbang gara-gara ‘lambat panas’


shadow

MANILA: Kekalahan dalam aksi pertama di tangan Thailand, hari ini menyaksikan skuad floorball wanita negara tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas juara bertahan, Singapura esok.

Ia bagi menghidupkan kembali peluang bagi merebut tempat ke pentas final.

Terdahulu, skuad bimbingan Rizal Razman terpaksa akur dengan kehebatan Thailand apabila tewas 2-8 pada aksi sulung saingan yang dijalankan secara liga sepusingan di Gimnasium Universiti Filipina.

Rizal berkata, biarpun menjangkakan barisan pemainnya berdepan misi sukar untuk menumbangkan Singapura, namun percaya anak buahnya memiliki kelebihan yang tersendiri.

“Perlawanan esok adalah yang pertama untuk Singapura dan mereka sudah pastinya akan berdepan sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Jadi, situasi ini sudah pastinya memberi kelebihan buat kami. Saya harap pemain memanfaatkan peluang ini dan mampu meraih kemenangan untuk menghidupkan peluang ke final,” kata Rizal ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Mengulas mengenai kekalahan di tangan Thailand yang meraih pingat perak pada edisi 2015 di Singapura, Rizal mengakui anak buahnya ‘lambat panas’.

“Kita lambat panas dibolosi tiga gol dalam tiga minit pertama. Kita cuba bangkit pada suku kedua dengan permainan mula seimbang.

“Dalam suku ketiga kita berjaya meraih jaringan tapi ia tidak cukup,” katanya.

Format pertandingan secara Iiga sepusingan itu menyaksikan dua pasukan teratas layak ke final merebut pingat emas dan perak sementara pasukan ketiga dan keempat berentap untuk pingat gangsa.

Selain Malaysia, Singapura dan Thailand, turut bersaing adalah tuan rumah, Filipina dan Indonesia.

Tinggalkan komen anda