KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Jurulatih Akademi Bola Sepak Remaja Paris Saint Germain (PSG), Saad Ichalalene, dilantik sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) berkuat kuasa 1 Disember ini.
Pelantikan itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menjelaskan pemilihan Saad dibuat berdasarkan pengalamannya selain menjadi tulang belakang yang merancang program latihan PPBN.
Menurutnya, Saad bertanggungjawab sepenuhnya ke atas program PPBN termasuk Akademi Mokhtar Dahari (AMD), sebaik mengambil alih tugas itu yang sebelum ini dipegang oleh Lim Tiong Kim.
“Selain pelantikan Saad, struktur PPBN diperkemaskan dengan pelantikan beberapa individu lain, antaranya Dennis Bekking sebagai Pengarah AMD, Abdifitaah Mohamed Hassan (Ketua Pencarian Bakat dan Metedologi Kejurulatihan) dan Aminuddin Hussain sebagai Ketua Pembangunan Remaja.
“Program pembangunan bola sepak di AMD akan terus diperkasa dengan penambahan bilangan jurulatih, jurulatih penjaga gol serta kakitangan teknikal bagi setiap kategori umur,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Syed Saddiq menjelaskan, penambahan bilangan jurulatih dijangka akan menjadikan program latihan dan pembangunan pemain di AMD lebih tersusun dan terancang.
Saad memulakan kerjayanya sebagai Ketua Jurulatih Akademi Bola Sepak Remaja PSG bermula tahun 2012 hingga 2016 dan pernah menyertai pasukan bola sepak pasukan itu sebagai pemain profesional sebelum itu.
Beliau juga pernah mewakili skuad kebangsaan Algeria pada 2005 dan 2006.
Dalam perkembangan berasingan, Syed Saddiq berkata, pihaknya masih belum menerima permohonan rasmi daripada Indonesia yang menuntut supaya Malaysia memohon maaf berhubung pergaduhan yang didakwa berlaku selepas perlawanan bola sepak antara kedua-dua negara baru-baru ini.
“Isu pergaduhan ini masih disiasat oleh polis dan kita pun belum tahu kesahihan dakwaan itu. Bagaimanapun, enggan memanjangkan perkara ini, saya sudah membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Saya difahamkan mereka (Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia (KEMENPORA) mahu Malaysia memohon maaf secara rasmi tetapi sehingga sekarang, pejabat saya belum menerima notis rasmi terbabit,” katanya.
Baru-baru ini, tular rakaman video memaparkan insiden pergaduhan didakwa membabitkan penyokong Malaysia dan Indonesia sejurus perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil di sini.
Tinggalkan komen anda