LIVERPOOL: Pemain Manchester City berasa sakit hati di bilik persalinan selepas menonton rakaman gol pembukaan kontroversi Liverpool ketika pasukan itu tewas 3-1 di Anfield, awal pagi tadi, dedah pemain tengah Ilkay Gundogan.
Pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold tampak seperti menyentuh bola menggunakan tangannya di dalam kotak penalti tetapi berbanding memberikan penalti kepada Citty, perlawanan diteruskan yang menyaksikan Fabinho meledak gol pembukaan.
Jaringan berkenaan diteliti oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum disahkan untuk tuan rumah meraih kemenangan dan menjarakkan kedudukan kepada sembilan mata dengan City dalam pemburuan kejuaraan.
“Kami melihat insiden itu sekali lagi di bilik persalinan sejurus perlawanan dan bagi saya, jelas ia adalah penalti,” kata Gundogan. “Tetapi jika kamu bertanya kepada pemain Liverpool mereka akan berkata, ‘Kamu tidak boleh memberinya kerana ia mungkin situasi 50-50.
“Ia memerlukan kekuatan mental untuk melawannya dan malangnya mereka menjaringkan gol kedua sejurus selepas itu.”
City menyasarkan untuk menjadi pasukan pertama sejak Manchester United pada 2009 meraih kemenangan ketiga berturut-turut Liga Perdana tetapi kekalahan menyaksikan mereka kini menghuni tangga keempat liga.
Musim lalu, City bangkit pada separuh kempen untuk mencantas kelebihan 10 mata Liverpool di puncak liga dan Gundogan menuntut tahap komitmen yang sama daripada rakan sepasukannya.
“Kami perlu menerimanya, tetapi perjalanan masih lagi jauh. Musim lalu pada Januari kami agak jauh ketinggalan tetapi berjaya mengubah semula situasi,” kata pemain kelahiran Jerman itu. – AFP
Tinggalkan komen anda