LONDON: Rafael Nadal mencipta kebangkitan dalam saingan ATP Final sekali gus menghidupkan peluangnya untuk menamatkan tahun ini selaku pemain nombor satu dunia selepas menewaskan Daniil Medvedev, awal pagi tadi.
Pemain Sepanyol itu hampir tewas apabila ketinggalan 5-1 dalam set penentuan selepas servisnya dua kali dipatahkan, namun berjaya bangkit untuk memenangi pertarungan dengan keputusan 6-7 (3/7), 6-3, 7-6 (7/4).
“Hari ini adalah salah satu hari di mana satu daripada 1,000 perlawanan kamu akan menang dan ia berlaku hari ini,” kata Nadal dengan penuh gembira.
Katanya, bangkit melakukan break dalam set penentuan memberikannya keyakinan untuk kembali memberikan saingan.
“Berdasarkan pengalaman, saya tahu betapa sukarnya untuk menamatkan perlawanan, terutamanya apabila kamu memiliki dua break dan kalah yang pertama. Dari situ saya tahu saya memiliki peluang.”
Kedua-dua pemain itu berada dalam tekanan selepas tewas pada pusingan round-robin dalam kumpulan Andre Agassi, Isnin lalu.
Nadal memiliki dua misi di London iaitu mahu memenangi perlawanan ATP Final buat pertama kali dalam kariernya selain mahu menjamin kedudukan selaku pemain nombor satu pada akhir tahun. – AFP
Tinggalkan komen anda