Klinsmann dilantik kemudi Hertha Berlin


shadow

BERLIN: Bekas pengendali skuad kebangsaan Jerman dan Amerika Syarikat, Jurgen Klinsmann mengambil alih tugas ketua jurulatih kelab Bundesliga, Hertha Berlin sehingga musim ini berakhir, umum pasukan itu hari ini.

Bekas bos Hertha, Ante Covic, yang mula mengemudi kelab itu pada Julai selepas enam tahun mengendalikan skuad simpanan disisihkan kelab itu susulan kekalahan 4-0 kepada Augsburg, yang menjadi kekalahan keempat berturut-turut pasukan itu dalam saingan liga.

Klinsmann, 55, yang pernah memenangi gelaran Eropah dan Piala Dunia bersama Jerman berada dalam Lembaga Penyeliaan Hertha pada awal November dengan pasukan kendaliannya ketika ini berada satu anak tangga di atas zon penyingkiran.

Bekas pemain Tottenham, Bayern Munich dan Inter Milan itu memenangi Piala Dunia 1990 dan Euro 1996 bersama Jerman dan memiliki 108 penampilan serta meledak 47 gol dengan skuad Die Mannschaft.

Klinsmann adalah jurulatih skuad kebangsaan Jerman bermula pada 2004 sehingga Piala Dunia 2006 yang menyaksikan tuan rumah mara ke separuh akhir di bawah kendaliannya.

Bekas penyerang itu pernah melatih Bayern pada 2008 hingga 2009 sebelum memilih mengemudi skuad kebangsaan Amerika Syarikat bermula 2011 hingga 2016 dan membantu pasukan itu mara ke peringkat 16 terakhir Piala Dunia 2014 di Brazil.

Perlawanan pertama Klinsmann bersama Hertha adalah Sabtu ini di gelanggang sendiri menentang Borussia Dortmund di Stadium Olimpik Berlin. – AFP

Tinggalkan komen anda