Hakimi sandaran Dortmund ledak Barca


shadow

DORTMUND: Pertahanan Borussia Dortmund yang juga tajam di depan gawang lawan, Achraf Hakimi sekali lagi akan menjadi senjata Liga Juara-Juara mereka untuk menumpaskan Barcelona esok, sekali gus meredakan tekanan ke atas pengendali kelab Jerman itu, Lucien Favre.

Dengan hanya dua perlawanan berbaki, tempat dalam kelompok 16 terakhir sudah dalam genggaman Dortmund, yang kini ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Barcelona, susulan dua gol jaringan Hakimi memberikan kemenangan 3-2 ke atas Inter Milan tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, keputusan aksi Bundesliga memaksa Favre untuk mendapatkan persembahan terbaik berdepan Barcelona bagi menyelamatkan kedudukannya, dan ia bergantung kepada Hakimi dan rakan sepasukan untuk merealisasikannya di Camp Nou.

Hakimi, yang menyertai Dortmund secara pinjaman dari Real Madrid pada Julai 2018, sering membarisi kesebelasan utama di bawah kendalian Favre. Dia sudah mengumpul sembilan gol dan membantu 10 lagi dalam 47 perlawanan, baik sebagai pertahanan tengah, kiri, atau di bahagian sayap.

Dia turut meledak empat daripada lima gol Liga Juara-Juara Dortmund, dua kali menemui sasaran ketika bermain di posisi sayap kiri ketika kemenangan 2-0 di Slavia Prague pada Oktober, di mana dia dilabelkan oleh kapten kelab Marco Reus sebagai senjata jentera serangan Dortmund.

“Dia amat pantas. Oleh sebab itu dia adalah senjata berbisa,” kata Reus.

Selepas membuktikan kemampuannya di Prague, Hakimi meraikan ulangtahun kelahiran ke-21nya dengan dua lagi gol – sebagai bek tengah – bagi membantu Dortmund bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Inter.

“Dia ada di mana-mana,” kata Favre. “Tabik hormat kepadanya, dia menjaringkan dua gol, tetapi yang lain turut membuat hantaran kepadanya.” – AFP

Tinggalkan komen anda