Guardiola ubah fokus


shadow

LONDON: Pep Guardiola mengalih fokusnya terhadap pemburuan kejuaraan Liga Perdana selepas Manchester City mengesahkan tiket ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

City diikat Shakhtar Donetsk 1-1 tetapi satu mata sudah mencukupi buat juara Inggeris itu mara selaku juara Kumpulan C berbaki satu perlawanan susulan kekalahan Dinamo Zagreb kepada Atalanta.

Skuad kendalian Guardiola tampak bergelut di Etihad tetapi mendahului permainan menerusi jaringan Ilkay Gundogan, 11 minit memasuki babak kedua sebelum pemain gantian Donetsk, Manor Solomon menyamakan kedudukan.

Di sebalik persembahan kurang meyakinkan, yang menyaksikan City mengharungi dua keputusan seri berturut-turut di peringkat Eropah, pengendali kelahiran Sepanyol itu lega dengan pencapaian pasukannya yang menyasarkan kemaraan.

“Kami layak dan kami bermain dengan baik pada babak kedua,” kata Guardiola. “Babak kedua lebih baik daripada yang pertama. Kami melepaskan gol menerusi serangan balas. 

“Pada babak pertama kami terlalu terburu-buru dan memberikan penguasaan bola kepada pihak lawan tetapi pada separuh masa kedua kami lebih tenang dan bertambah baik.

“Kini satu kejohanan sudah berakhir dan fokus kami akan berada di Liga Perdana, sehingga kami tiba dengan piala. Sasaran kami adalah untuk layak dan kami sudah melaksanakannya.”

City setakat ini sudah melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sebanyak tujuh kali berturut-turut dengan empat daripadanya di bawah kendalian Guardiola tetapi bekas bos Barcelona itu berkata perjalanan pasukannya masih jauh.

“Proses ini, di mana kami ketika ini dan di mana kami sedekad yang lalu… Tujuh tahun berturut-turut bermakna kamu perlu layak sebanyak tujuh kali dan mengharunginya. 

“Kami akan lihat bagaimana keadaan kami ketika kami tiba di pusingan kalah mati, tetapi kini adalah masa untuk fokus kepada Liga Perdana.” – Agensi

Tinggalkan komen anda