Guardiola puas hasrat mara tercapai


shadow

MANCHESTER: Pep Guardiola mengaskan Manchester City sudah mencapai misinya untuk layak ke saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara buat tujuh musim berturut-turut meskipun beraksi hambar ketika terikat 1-1 menentang Shakhtar Donetsk, pagi tadi.

Skuad Guardiola beraksi di bawah tahap sebenar di Stadium Etihad tetapi jaringan Ilkay Gundogan pada babak kedua meletakkan mereka dalam posisi selaku pendahulu Kumpulan C dengan baki satu perlawanan.

Walaupun Manor Solomon menyamakan kedudukan buat Shakhtar, kemenangan Atalanta ke atas Dinamo Zagreb memastikan City kekal di tangga teratas.

“Kami sudah layak. Kami beraksi dengan sangat baik pada babak kedua.

“Saingan peringkat kumpulan memang sukar tetapi sasarannya ialah mara dan kami mencapainya,” kata Guardiola.

“Sekarang kami selesai satu kejohanan jadi kami boleh fokus cabaran Liga Perdana.”

Guardiola boleh menarik nafas lega apabila dapat merehatkan pemain menjelang kunjungan ke Zagreb pada 11 Disember ketika mereka bakal berdepan aksi sukar menentang Manchester United and Arsenal dalam aksi Liga Perdana.

Walaupun City enggan menyerah kalah dalam perebutan gelaran Liga Perdana, Liverpool kini dalam kedudukan terbaik menjuarainya dan saingan peringkat Eropah tampak peluang terbaik buat Guardiola merangkul trofi utama musim ini.

“Shaktar memiliki kualiti. Saya banyak kali menentang mereka dan mereka sangat teratur.

Pemain Manchester City, Ilkay Gundogan (kiri) merembat ke arah gawang Shakhtar Donetsk pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara, pagi tadi. – Foto AFP

“Mereka juga ada penjaga gol yang hebat dan sukar melawan mereka,” kata Guardiola.

Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, City akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-56 menerusi jaringan Gundogan dari petak penalti selepas menerima umpanan Gabriel Jesus.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Solomon merembat kencang pada minit ke-69. – AFP

Tinggalkan komen anda