LONDON: Pengendali Manchester City Pep Guardiola tidak ragu-ragu lagi yang pembantunya Mikel Arteta akan menjadi pengurus pasukan suatu hari nanti, tetapi menolak kemungkinan yang bekas pemain Sepanyol itu akan mengambil alih kelab lain pada musim ini.
Arteta menjadi pilihan pemerhati untuk mengendali bekas kelabnya, Arsenal sekiranya pengendali ketika ini, Unai Emery dipecat.
Arsenal kini di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris, 19 mata di belakang pendahulu Liverpool dan lapan mata di bawah kelayakan Liga Juara-Juara berikutan keputusan 2-2 di Southampton Sabtu lalu.
“Unai Emery adalah pengendali Arsenal,” kata Guardiola. “Sudah tentu (Arteta) akan menjadi pengendali suatu hari nanti. Kami akan menamatkan musim ini tetapi akan datang saya tidak tahu apa akan berlaku.”
Bekas kapten Arsenal, Arteta yang menyertai barisan kejurulatihan Guardiola tiga tahun lalu, turut mendapat sokongan Arsene Wenger untuk jawatan itu sebelum pengendali dari Perancis itu meninggalkan kelab.
Guardiola bagaimanapun tidak mahu terburu-buru melepaskan orang kanannya itu.
“Saya ingin dia kekal bersama kami. Manchester City mempunyai seorang individu berharga untuk bekerja di sini pada masa akan datang. Semua orang berpuas hati dengan kehadirannya,” katanya. – REUTERS
Tinggalkan komen anda