Deschamps tak akan sisih Martial


shadow

PARIS: Ketua jurulatih skuad kebangsaan Perancis, Didier Deschamps mengganggap Anthony Martial tenaga penting biarpun namanya tidak disenaraikan untuk kempen kelayakan Euro 2020 kali ini.

Sayap Manchester United itu sudah pulih dari masalah kecederaan pangkal paha tiga minggu lepas yang sebelumnya memaksa Red Devils merehatkan dia selama dua bulan.

Pemain berusia 23 tahun itu sudah menyumbat tiga gol dalam enam penampilan sejak kembali bergandingan dengan Marcus Rashford dan Daniel James di Old Trafford.

Bagaimanapun, Martial yang kali terakhir tampil dalam aksi antarabangsa menentang Russia pada Mac 2018 tersisih dari senarai skuad Perancis menjelang pertemuan Kelayakan Euro 2020 menentang Moldova dan Albania Khamis dan Ahad ini.

Deschamps, sebaliknya bakal memanggilnya semula pada aksi antarabangsa akan datang.

“Dia memang sebahagian dalam pasukan Perancis, tapi sejak akhir-akhir ini dia selalu cedera,” katanya.

“Dia baru sembuh dan memainkan peranan dengan baik sebagai penyerang bersama Manchester United.

“Dalam perancangan jangka panjang, dia memang akan dipanggil semula.” 

Dalam pada itu, Olivier Giroud disenaraikan meskipun kurang diberi peluang beraksi bersama Chelsea musim ini.

Pemain berusia 33 tahun itu hanya beraksi enam kali selama 120 minit di saingan Liga Perdana Inggeris setakat ini.

Bekas sayap Arsenal itu lekat dalam senarai kerana menjadi orang kepercayaan Deschamps atas pengalamannya.

Deschamps juga berharap bintang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe kembali cergas meskipun dia terlepas aksi ketika menang 2-1 ke atas Brest dalam saingan Ligue 1 Sabtu lalu angkara kecederaan otot.

“Dia (Mbappe) belum tiba lagi, tapi dia memang akan ke sana,” kata Deschamps.

“Kami masih memantau perkembangannya, doktor kedua-dua pasukan ada berkomunikasi mengenai proses pemulihannya .” – Agensi 

Tinggalkan komen anda