PARIS: Juara dunia Moto2, Alex Marquez akan berlumba disamping abangnya yang juga juara dunia enam kali MotoGP, Marc bersama pasukan Repsol Honda pada musim hadapan, umum pasukan itu.
Alex, 23, yang merangkul gelaran dunia Moto2 pada tahun ini dan pernah memenangi gelaran Moto3 pada 2014, sudah menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan berkenaan.
“Dia akan berpindah dari kelas pertengahan untuk berpasangan dengan juara dunia lapan kali, Marc Marquez pada 2020 bagi penampilan sulungnya dalam kelas perdana,” kata Honda dalam satu kenyataan.
Alex akan menggantikan kekosongan yang ditinggalkan juara dunia tiga kali, Jorge Lorenzo, yang bersara selepas kempen musim ini berakhir pada hujung minggu lalu di Grand Prix Valencia.
Alex yang menunggang jentera Kalex dalam saingan Moto2 memenangi lima perlumbaan pada kempen 2019, menjulang kejuaraan dunia dengan perbezaan tiga mata mengatasi penunggang Afrika Selatan, Brad Binder.
Pengumuman itu bermaksud Cal Crutchlow dari Britain dan Johann Zarco dari Perancis terlepas peluang menyertai pasukan utama Honda itu.
Crutchlow, 34, yang berlumba bersama pasukan satelit Honda-LCR menamatkan saingan musim 2019 di kedudukan kesembilan.
Dia pernah memenangi tiga perlumbaan dan mengakhiri di kedudukan podium sebanyak 19 kali sepanjang kariernya di MotoGP.
Zarco yang juga juara dunia dua kali Moto2 dan menyertai MotoGP musim lalu, mula berlumba menggunakan jentera Honda pada tiga perlumbaan terakhir musim ini selepas meninggalkan KTM. – AFP
Tinggalkan komen anda