MANILA: Isu kesukaran mendapatkan makanan halal tidak akan menjadi masalah besar buat kontinjen Malaysia sepanjang Sukan SEA 2019 di Filipina.
Timbalan ketua kontinjen negara, Ahmad Faedzal Md Ramli, berkata pihaknya sudah pun mengambil langkah awal apabila setiap atlet dan pegawai di ketiga-tiga lokasi – Manila, Clark dan Subic – dibekalkan dengan pek makanan segera daripada Brahim’s.
Sebanyak 500 kotak besar pek makanan Brahim’s diterbangkan khas bagi keperluan atlet dan pegawai negara sepanjang temasya kali ini berlangsung.
“Daripada segi makanan halal, saya fikir tiada masalah kerana kita membawa bekalan yang cukup untuk diagihkan kepada setiap atlet dan pegawai yang beraksi kali ini.
“Malah, akan ada satu lagi ‘batch’ bekalan makanan akan tiba dalam masa terdekat ini bagi keperluan atlet kita sepanjang Sukan SEA kali ini,” kata Faedzal ketika ditemui sebaik tiba di Manila, hari ini.
Terdahulu, media Filipina melaporkan seorang pegawai media daripada skuad bola sepak Indonesia, Gatot Wirdado termakan daging babi susulan kegagalan penganjur meletakkan tanda bagi membezakan makanan halal dan tidak halal.
Sementara itu, Faedzal percaya mental atlet negara tidak akan terjejas bagi mengharungi cabaran di Filipina di sebalik kegagalan penganjur menyediakan kemudahan membabitkan logistik dan venue pertandingan.
“Kami sudah beritahu kepada seluruh kontinjen untuk bersiap sedia bagi menghadapi situasi yang buruk. Jadi, saya fikir mereka sudah bersedia sepenuhnya dari aspek mental dan fizikal.
“Apa yang paling penting adalah fokus terhadap tujuan kita untuk memenangi pingat di sini. Apa yang berlaku di sini perlu dianggap sebahagian daripada cabaran untuk kita melakar kejayaan,” katanya.
Tinggalkan komen anda