TRNAVA, Slovakia: Bekas anggota penyelamat, Kieffer Moore meledak gol pada penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan dalam aksi kompetitif ketika Wales seri 1-1 dengan Slovakia dalam kempen kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.
Keputusan itu menghidupkan peluang buat skuad kendalian Ryan Giggs untuk melangkah ke pusingan akhir kejohanan berkenaan tahun depan.
Wales ketika ini menghuni tangga ketiga Kumpulan E selepas mengumpul tujuh mata tetapi ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Croatia dan tiga mata di belakang Slovakia tetapi bermain kurang satu perlawanan.
Beraksi di gelanggang lawan, Moore yang memiliki ketinggian 1.96 meter meledak gol menerusi tandukan pada minit ke-25 tetapi tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada awal babak kedua menerusi Juraj Kucka.
“Bolehkah saya kata menikmatinya? Tidak begitu tepat. Bagi sesiapa yang tiada kena mengena, ia adalah perlawanan yang hebat untuk ditonton,” kata Giggs.
“Kami memiliki peluang yang lebih baik. Ia boleh berubah menjadi berbeza tetapi kami kadang kala berada dalam tekanan tetapi kami bertahan dengan baik. Saya pernah berkata sebelum permainan yang kami perlu menjadi kejam.
“Kami mempunyai ramai pemain yang amat berbakat dan kami perlu menyempurnakan semua peluang yang kami cipta dalam tiga perlawanan berikutnya. Perlawanan di gelanggang sendiri bertemu Croatia amat besar. Suasananya pasti hebat jadi kami tidak sabar untuk mengharunginya.” – AFP
Tinggalkan komen anda