THE HAGUE: Manchester United kendalian Ole Gunnar Solskjaer sekali lagi bergelut dengan ketumpulan jentera serangannya apabila gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat dalam usaha memburu kemenangan pertama di tempat lawan sejak Mac.
United kini belum menang dalam 10 perlawanan di tempat lawan – deretan yang menyaksikan mereka hanya meledak lima gol – termasuk keputusan seri tanpa jaringan menentang AZ Alkmaar dalam saingan Kumpulan L Liga Europa awal pagi tadi.
“Suasana amat sukar tetapi saya rasa kami melakukannya dengan baik. Ia meletakkan kami dalam kedudukan yang baik,” kata Solskjaer.
“Jika anda mendapat keputusan seri di tempat lawan dan menang di laman sendiri, anda dalam keadaan baik.”
Pemain akademi Brandon Williams memulakan permainan buat kali pertama untuk United, yang menyaksikan pemain remajanya Mason Greenwood hampir memecah kebuntuan pada minit ke-30 namun rembatannya dihalang Ron Vlaar.ADVERTISING

Pertahanan Manchester United, Victor Lindelof (kiri) cuba menghalang pemain AZ Alkmaar, Ron Vlaar pada perlawanan Liga Europa, awal pagi tadi. – Foto AFP
Perlawanan berlangsung di The Hague, di atas padang rumput tiruan yang digambarkan Solskjaer sebagai antara yang paling teruk, selepas ribut memusnahkan gelanggang Alkmaar pada Ogos.
United bergelut menembusi benteng lawan dengan pemain gantian Jesse Lingard sekadar melakukan rembatan liar ke sisi gawang, dan Solskjaer seperti tidak percaya apabila Marcus Rashford dijatuhkan dalam kotak penalti.
“Ia adalah penalti, 101 kali daripada 100,” katanya.
Owen Wijndal dan Oussama Idrissi memaksa David de Gea menyelamatkan keadaan beberapa kali di penghujung permainan.
Keputusan seri itu menyaksikan United berkongsi mata dengan pendahulu Partizan Belgrade yang menang 2-1 di Astana. – AFP
Tinggalkan komen anda