Solskjaer berdepan tugas sukar ubah nasib United


shadow

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer berdepan tugas sukar untuk mengubah masa depan Manchester United, kata pengurus Newcastle United dan bekas kapten United, Steve Bruce menjelang pertembungan kedua-dua kelab itu pada Ahad ini.

United ketika ini menghuni tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengharungi permulaan terburuk dalam tempoh 30 tahun dan masih gagal memenangi perlawanan di tempat lawan sejak Mac lalu.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada dia. Dia mendapat tugasan yang paling sukar tetapi diberi peluang yang sangat baik,” kata Bruce yang bermain di Old Trafford di bawah bimbingan Alex Ferguson.

“Kita semua faham, jika kamu menerima tugas sebagai pengurus, kamu berdepan tekanan sejak hari pertama lagi. Kamu tidak mempunyai banyak masa untuk melaksanakan apa yang kamu rancang.”

Pengurus Newcastle itu yang mempunyai rekod buruk sebagai pengurus menentang bekas kelabnya itu berkata biarpun United ketika ini sedang bergelut tetapi dia tetap menjangkakan anak buahnya akan berdepan tugas sukar di St James Park.

Anak buah Bruce turun dengan misi untuk menebus kekecewaan apabila dimalukan dengan kekalahan 0-5 di tanagn Leicester City, minggu lalu.

“Saya tidak fikir saya pernah menewaskan mereka (United) dan sudah pasti itu membimbangkan saya. Namun, saya mendapat keistimewaan kerana pernah bermain di sana suatu ketika dahulu.

“Menentang pasukan seperti United, ia sentiasa sesuatu yang istimewa dan perlawanan yang besar,” katanya.

– AFP

Tinggalkan komen anda