SUZUKA: Penganjur Grand Prix Formula Satu Jepun mengambil keputusan membatalkan keseluruhan program di litar perlumbaan termasuk sesi kelayakan yang dijadualkan berlangsung di Litar Suzuka esok susulan kebimbangan dilanda Taufan Hagibis yang diramal membadai Jepun.
Susulan pembatalan acara esok, sesi kelayakan akan berlangsung pada jam 10 pagi Ahad dan perlumbaan sebenar akan dimulakan pada jam 2.10 petang hari sama seperti jadual asal.
“Selepas menerima laporan impak Taufan Hagibis ke atas Grand Prix Jepun, pihak Mobilityland dan Persekutuan Automobil Jepun mengambil keputusan membatalkan semua aktiviti yang dijadualkan pada 12 Oktober (esok),” umum Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), sebentar tadi.
“FIA dan Formula One menyokong keputusan ini demi keselamatan penonton, pelumba dan setiap individu yang berada di Sirkit Suzuka,” katanya.
Sesi latihan bebas akan berlangsung hari ini sebagai persiapan perlumbaan sebenar pada Ahad.
Pada 2004 dan 2010, sesi kelayakan Formula Satu di Jepun juga pernah ditunda pada Ahad berikutan cuaca buruk.
Taufan Hagibis setakat ini sudah menjejaskan jadual perlawanan Kejohanan Piala Dunia Ragbi yang menyaksikan pertembungam antara England dan Perancis di Yokohama serta aksi New Zealand melawan Itali di Toyota City esok sudah dibatalkan.
Sebahagian kawasan di Jepun masih sedang pulih daripada kesan taufan yang melanda negara sebulan lalu.
Agensi meteorologi Jepun dalam laporannya mengesahkan Taufan Hagibis sedang bergerak ke utara di Pasifik ke arah pulau utama Jepun dan meramalkan ia mungkin sampai ke darat, esok.
“Sama ada taufan ini tiba ke darat atau tidak, ia pasti membawa kesan teruk,” kata seorang pegawai agensi itu.
Katanya, penduduk perlu bersedia menghadapi hujan lebat, angin kuat, ombak tinggi dan ribut akibat perbezaan tekanan udara. – AFP/Reuters
Tinggalkan komen anda