Laporte bikin City ‘tempang’ – Ederson


shadow

LONDON: Penjaga gol Manchester City, Ederson percaya pasukan itu terpaksa bergelut selepas kehilangan Aymeric Laporte yang berdepan kecederaan.

Pertahanan tengah City itu menjadi pilihan utama pengendali, Pep Guardiola tetapi khidmatnya tidak dapat digunakan sehingga tahun baharu selepas mengalami kecederaan ligamen serius ketika menentang Brighton. 

Kelibat pemain kelahiran Perancis itu jelas dirindui apabila penyandang juara itu berdepan kekalahan mengejutkan 2-0 kepada Wolves di gelanggang sendiri, Etihad minggu lalu.

“Sukar untuk pasukan seperti kami berdepan dengan masalah kecederaan, terutama jika ia berlaku di posisi yang sama di atas padang,” kata Ederson.

AYMERIC Laporte

“Kami semua tahu mengenai kualiti menakjubkan yang dimiliki Aymeric dan betapa bagusnya dia ketika merencana gerakan. Sudah tentu kami semua merinduinya.

“Kami memiliki pemain lain yang hebat dan boleh menggantikannya di posisi itu. Tetapi malangnya, dengan kecederaan John Stones, kami hanya mempunyai seorang pertahanan tengah yang tulen.

“Saya fikir pasukan benar-benar memerlukan kekuatan mental untuk terus bermain dan menjuarai gelaran,” kata penjaga gol Brazil itu.

Selepas kekalahan kepada Wolves, City ketika ini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Liverpool selepas mengharungi lapan perlawanan.

Stones dijangka kembali pulih apabila City menyambung semula kempen musim ini pada 19 Oktober selepas rehat antarabangsa. – Agensi

Tinggalkan komen anda