Keluarga halang Messi tukar kelab


shadow

BARCELONA: Lebih 15 tahun Lionel Messi membuktikan kesetiaannya kepada Barcelona – kelab di mana dia muncul penjaring gol terbanyak dengan 606 gol.

Pada usia 32 tahun, Messi memasuki tahun-tahun akhir kariernya dan dikatakan dia semakin menghampiri perpisahan dengan kelab gergasi Sepanyol itu.

Selain membina legasi tersendiri di Barca, Messi turut mendedahkan dia sudah lama berhasrat untuk kembali menyumbang bakti di kelab zaman kanak-kanaknya di Argentina, Newell’s Old Boys tetapi faktor keluarga menjadi penghalang.

“Saya mempunyai impian untuk beraksi di Newell’s di Argentina, tetapi saya tidak pasti jika ia mampu menjadi kenyataan kerana saya mempunyai keluarga yang lebih penting daripada kehendak saya,” kata Messi.

“Saya akan cuba memujuk keluarga saya, kerana sekaran saya perlu memujuk anak-anak juga. Thiago sudah besar sekarang, dia mempunyai kawan-kawan dan dia langsung tidak suka apabila terpaksa bercuti sebulan di Argentina. Dia mahu bersama kawan-kawannya di sini dan ia cukup sukar.”

Dengan 674 gol dalam 829 perlawanan untuk Barcelona dan Argentina, Messi melabelkan dirinya bukan sekadar penjaring gol biasa. Menurutnya, menjaringkan gol hanyalah sebahagian daripada permainannya kerana dia lebih suka berada di posisi yang boleh memegang bola lebih kerap.

“Saya masih rasakan yang saya bukan penjaring gol biasa. Saya lebih gemar datang dari belakang dan memegang bola lebih lama. 

“Saya juga suka masuk ke dalam kotak dan menjaringkan gol tetapi saya tidak hidup dengan gol. Saya lebih gemar untuk sentiasa bersama bola,” katanya. – AGENSI

Tinggalkan komen anda