Ince kritik De Gea


shadow

LONDON: Bekas pemain tengah Manchester United, Paul Ince mengkritik David de Gea yang disifatkan tiada semangat kepimpinan ketika kekalahan 1-0 Red Devils kepada Newcastle.

Penjaga gol berusia 28 tahun itu baru-baru ini mengesahkan komitmennya kepada United dengan menandatangani kontrak baharu selama lima tahun sekali gus menamatkan spekulasi perpindahannya.

United memulakan kempen musim ini dengan teruk dan menghuni tangga ke-12 Liga Perdana selepas kekalahan di  Tyneside.

Sejurus kekalahan di St James’ Park, pemain kelahiran Sepanyol itu ditemuramah dan nampak seperti hilang kata-kata bagi mengulas persembahan buruk United justeru bagi Ince, sikap seperti itu tidak boleh diterima daripada seorang pemain utama kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

PAUL Ince

“Saya menonton temuramah David de Gea selepas perlawanan dan saya merasa cukup kecewa,” kata Ince. “Dia sepatutnya menjadi salah seorang pemimpin. 

“Jika Peter Schmeichel berdiri di sana, kamu tiada peluang untuk melihat temuramah seperti itu. Berbanding daripada dia menekankan dan memberitahu punca apa yang berlaku kepada pasukan, saya hanya rasakan dia berkata ‘Saya tidak tahu, saya tidak tahu.’

“Dia adalah salah seorang pemain terbaik, pemimpin di Man United yang baru menandatangani kontrak selama lima tahun. Tetapi dia nampak seperti orang yang bingung terhadap apa yang berlaku.”

Selain itu, Ince turut menegaskan pemain-pemain dari akademi United yang disenaraikan oleh Solskjaer musim ini belum mencapai kualiti untuk bermain di United.

United mempunyai dua minggu untuk merancang kebangkitan sebelum mengharungi aksi Liga Perdana berikutnya menentang pendahulu liga, Liverpool 20 Oktober ini. – Agensi

Tinggalkan komen anda