Hazard bukan pengganti Ronaldo – Wenger


shadow

LONDON: Gergasi Sepanyol, Real Madrid masih belum ‘menikmati’ prestasi sebenar Eden Hazard tetapi jika ia berhasil, ia masih belum berupaya menggantikan Cristiano Ronaldo, kata bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Hazard menyumbat gol pertamanya dalam kempen La Liga musim ini selain mencipta umpanan dalam perlawanan terakhir Real sebelum rehat antarabangsa ketika kemenangan 4-2 pasukan itu ke atas Granada.

Kemenangan melonjakkan kedudukan skuad kendalian Zinedine Zidane itu di puncak liga dan di sebalik prestasi yang ditampilkan, mereka dilihat masih belum berada di prestasi terbaik.

“Dia adalah jawapan tetapi bukan untuk menggantikan Ronaldo, itu sudah pasti,” kata Wenger. “Dia tidak akan menjaringkan 50 gol setahun disebabkan permainan bola sepak ketika ini.

“Mereka memerlukan seorang lagi penjaring gol di Real kerana (Karim) Benzema sudah berusia 32 tahun dan jika mereka memiliki seseorang yang lebih muda untuk menjaringkan gol, mungkin mereka dapat melakukannya dengan lebih baik.

“Eden Hazard adalah pemain yang menakjubkan ketika mencipta peluang dan kadang kala melakukan penyudah apabila dia diperlukan dalam perlawanan yang besar.

“Tetapi dia tidak menakutkan sesiapapun. Saya tidak fikir yang Real sudah melihat persembahan sebenar Hazard, fizikalnya tidak berada di tahap yang terbaik. Kerana itu saya percaya mereka akan melihat Hazard yang sebenar.”

Sejak tiba dari Chelsea, Hazard dibelenggu masalah kecederaan hamstring ketika pra-musim dan pemain berusia 28 tahun itu membuat penampilan sulung di Real ketika kemenangan 3-2 ke atas Levante. – Agensi

Tinggalkan komen anda