MILAN: Cristiano Ronaldo kembali beraksi di liga Itali selepas menjaringkan empat gol buat Portugal ketika Juventus akan ke Fiorentina esok yang turut mendapat tonik tambahan berikutan penampilan pertama jurulatih Maurizio Sarri selepas berehat akibat radang paru-paru.
Bekas jurulatih Chelsea itu terlepas dua saingan liga bersama juara Serie A itu berdepan Parma dan bekas kelabnya, Napoli.
Namun pengendali berusia 60 tahun itu akan berada di tempat duduknya buat pertama kali ketika Juventus mahu mencari kemenangan ketiga musim ini sebelum pertemuan Liga Juara-Juara berdepan Atletico Madrid pada pertengahan minggu.
Empat gol dijaringkan Ronaldo buat Portugal pada kelayakan Eropah mengatasi Lithuania sudah cukup menggentarkan penyokong Fiorentina.
Pemain berusia 34 tahun itu mengatasi pemain Ireland, Robbie Keane sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelayakan Euro dengan 25 gol dan tampak makin menyerlah jika menang Pemain Terbak FIFA di Milan pada 23 September.
Ronaldo akan mengemudi serangan Juventus bersama Douglas Costa dan Gonzalo Higuain, dengan pemain Argentina itu juga berada dalam prestasi terbaik selepas kembali ke Turin dari pinjaman ke Chelsea.
“Sya kembali ke pasukan sama dengan Cris (Ronaldo) selepas beberapa tahun dan dia semakin kuat, lebih lengkap dan bercita-cita tinggi, saya gembira bermain dengannya sekali lagi,” kata Higuain yang beraksi dengan Ronaldo di Real Madrid. – AFP
Tinggalkan komen anda