‘Pintu Real sentiasa terbuka untuk Pogba’


shadow

LONDON: Pemain seperti bintang Manchester United, Paul Pogba sentiasa dialu-alukan di Real Madrid, kata kapten kelab gergasi Sepanyol itu, Sergio Ramos.

Pogba menghabiskan kempen perpindahan musim panas lalu dengan spekulasi keluar dari Old Trafford dengan Real dikhabarkan sebagai calon utama.

Sekali pun Ketua Jurulatih Real, Zinedine Zidane tidak bersembunyi menyatakan Pogba sebagai sasaran utamanya, perbelanjaan mewah yang dibuat kelab itu dengan membawa masuk Eden Hazard, Luka Jovic dan beberapa lagi pemain menyebabkan tuntutan tinggi United tidak dapat dilunaskan.

Berikutan itu, Pogba kekal di Old Trafford sehingga jendela perpindahan ditutup tetapi tidak mustahil Real sekali lagi dikaitkan dengan bintang Perancis itu di masa depan dengan Ramos berkata kehadirannya amat dialu-alukan.

“Saya fikir Real Madrid sentiasa membuka pintu untuk pemain sepertinya,” kata Ramos. “Bagi saya, Pogba adalah salah seorang pemain yang hebat. Dia berbeza dan dia sudah menunjukkan nilainya di Juventus dan kini di Manchester  United.

“Saya fikir dia membawa keseimbangan kepada pasukan. Dia mempunyai pengaruh yang hebat ketika menyerang dan dia mempunyai fizikal yang mengagumkan.”

Pogba ketika ini mencetus resah United apabila dia terlepas kedua-dua perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Perancis menentang Albania dan Andorra susulan kecederaan.

United berharap Pogba kembali meraih kecergasan penuh dengan kelab itu akan mengharungi jadual padat selepas ini.

Selepas perlawanan Liga Perdana menentang Leicester, Sabtu ini, United dijadual bertemu kelab Kazakhstan, Astana bagi kempen Liga Europa minggu depan. – Agensi

Tinggalkan komen anda