Liverpool buat lawan sesak nafas


shadow

LONDON: Permulaan hebat Liverpool dalam Liga Perdana musim ini menyebabkan pencabarnya seakan tidak cukup nafas dan pasukan itu dijangka akan mengekalkan rekod sempurna mereka berdepan Newcastle esok.

Skuad kendalian Jurgen Klopp mengambil inisiatif awal dalam Liga Perdana dengan menang empat perlawanan berturut-turut untuk membuka jurang dua mata berdepan pasukan tangga kedua, Manchester City.

Rentak hebat juara Eropah itu mengatasi Norwich, Southampton, Arsenal dan Burnley, memberikan mesej bahawa mereka berazam untuk membalas kegagalan tipis untuk mengatasi City meraih trofi musim lalu.

Pemain Arsenal, Dani Ceballos yang baharu merasai bola sepak England selepas menyertai kelab berkenaan secara pinjaman dari Real Madrid mengakui terkejut dengan apa ditunjukkan Liverpool selepas kemenangan 3-1 mengatasi Gunners pada Ogos.

“Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini. Saya tidak pernah melihat sehinggalah ketika pasukan itu bermain dengan sangat baik, memberi tekanan hebat. Perlawanan itu memberi impak terhadap saya,” kata Ceballos.

“Ia menyebabkan saya amat letih. Anda menghabiskan banyak masa bertahan dan apabila anda mahu kembali bernafas dan mula mendapat bola, mereka kembali mengambilnya dari anda.

“Saya rasa Jurgen Klopp kini memiliki pasukan yang mahu dimilikinya apabila dia bermula empat tahun lalu.”

Pujian itu menyatakan dengan jelas ujian perlu diatasi City ketika mereka cuba menyekat Liverpool menang mahkota England pertama sejak 1990.

City mungkin sudah menang dua gelaran Liga Perdana dengan gaya tersendiri tetapi Liverpool tampak lebih baik kali ini dan Newcastle jelas sukar menghalang kemaraan mereka di Anfield esok. – AFP

Tinggalkan komen anda