Hamidin, Jamal yakin Harimau Malaya benam UAE


shadow

KUANTAN: Skuad Harimau Malaya mampu mencipta kejutan dengan mengatasi pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tidak mustahil buat skuad kebangsaan yang menghuni ranking ke-159 dunia untuk menewaskan pasukan ranking ke-65 itu jika semua pemain memberikan komitmen dan fokus sepenuhnya dalam aksi di Stadium Nasional itu.

Beliau yang masih tidak dapat melupakan kekalahan 10-0 Harimau Malaya kepada pasukan itu pada kempen kelayakan edisi terdahulu pada 2015, iaitu kekalahan terbesar dalam sejarah buat pasukan negara, mengingatkan pemain bahawa pasukan seperti UAE adalah antara lawan yang perlu diatasi untuk mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2023 di China.

“Saya ada beritahu dengan pemain bahawa tiada sebab untuk takut dan bermain dengan yakin. Jadi komitmen penuh dituntut dari semua pemain, terutamanya penjaga gol dan bahagian pertahanan untuk elak dibolosi.

Saya mahu mereka beri 100 peratus dalam perlawanan itu dan berwaspada sepanjang 90 minit perlawanan. Tak mustahil kita boleh mencipta kejutan apabila beraksi di gelanggang sendiri dan kita sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam aksi ini,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, dengan aksi harimau Malaya yang makin menunjukkan peningkatan, maka tidak mustahil mereka berjaya mencatat kemenangan ke atas UAE pada aksi kedua Kumpulan G di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Beliau berkata, jumlah jaringan bukan persoalan utama perlu difikirkan sebaliknya apa yang penting ialah kemenangan di laman sendiri menjadi fokus utama mereka.

“Dengan corak permainan yang semakin menyerlah dan mantap pada pertemuan dengan Indonesia sebelum ini, keyakinan saya begitu menebal skuad Harimau Malaya mampu menjinakkan pasukan UAE malam esok.

“Ingatan saya pada pemain ialah jangan terlalu memikirkan rekod buruk pasukan negara sebelum ini sebaliknya memberi sepenuh tumpuan kepada perlawanan dan berusaha mengurangkan kesilapan yang boleh mengundang jaringan pihak lawan,” katanya, di sini hari ini.

Katanya, keseluruhan semangat perjuangan yang tinggi ketika bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis lalu perlu dibawa ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok terutama Malaysia bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Jamal Nasir berkata, aksi jentera serangan dan tengah kini dilihat amat baik sekali apabila berjaya membentuk persefahaman yang jitu serta bijak mencari kelemahan pemain lawan.

Bagaimanapun katanya, sedikit kelonggaran berlaku pada benteng pertahanan yang perlu segera diperbaiki bagi mengelak gawang pasukan negara dibolosi.

“Suka saya ingatkan kepada pemain Harimau Malaya, pasukan negara pernah menewaskan UAE ketika era kegemilangan dahulu dan hari ini kehebatan itu kembali dijelmakan oleh barisan pemain muda.

“Saya begitu berbangga melihat kejayaan skuad Harimau Malaya ketika menewaskan Indonesia 3-2 di tempat lawan, saya pernah bersama pasukan kebangsaan bermain di Stadium Gelora Bung Karno dan situasinya hampir sama.

“Disebabkan terlalu ramai penonton yang bersorak menyebabkan pemain tidak dapat mendengar arahan jurulatih dan berkomunikasi dengan rakan sepasukan,” katanya yang mendoakan pasukan negara dapat menewaskan UAE.

Hamidin turut menyeru penyokong turun ke stadium memberikan sokongan padu kepada pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Difahamkan bahawa lebih 12,000 tiket bagi aksi itu telah dijual secara dalam talian sehingga semalam.

Malaysia kini menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan tiga mata selepas menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi pertama Khamis lalu, manakala UAE bakal memulakan kempen pada esok.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan G, Vietnam mengikat Thailand tanpa jaringan di Bangkok.

Tinggalkan komen anda