FIFA gantung Napout seumur hidup


shadow

LAUSANNE, Switzerland : Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung bekas bos Persatuan Bolasepak Paraguay, Juan Angel Napout seumur hidup selepas dua minggu dia dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan melakukan rasuah.

April lalu, mahkamah New York mendapati Napout, yang mengetuai Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (Conmebol) dari 2007 hingga 2014 dan Naib Presiden FIFA, terbabit dalam skandal rasuah.

Pada 29 Ogos lalu, mahkamah berkenaan menjatuhkan hukuman paling lama ke atasnya bersabit 42 pertuduhan yang dikenakan dalam kes yang dirujuk sebagai ‘Fifagate’.

Jawatankuasa Etika FIFA semalam menggantung Napout seumur hidup daripada semua aktiviti bola sepak atas kesalahan melakukan rasuah selain mengenakan denda sebanyak 1 juta Swiss francs (RM4.1 juta).

Pihak berkuasa AS yang menyiasat kes rasuah berkenaan pada 2015 menemui bukti bahawa puluhan juta dolar dibayar oleh syarikat promosi bola sepak kepada beberapa bos persekutuan bola sepak di Amerika Selatan.

Bayaran itu dibuat bagi mendapatkan hak penyiaran dan promosi Kejohanan Copa America dan Copa Libertadores bagi musim 2012 hingga 2015.

Mahkamah New York juga mendenda Napout AS$1 juta (RM4.2 juta) selain mengarahkan bekas bos berusia 61 tahun itu mengembalikan wang rasuah AS$3.3 juta (RM14 juta) yang diterimanya.

Dalam pada itu, bekas bos Konfederasi Bolasepak Brazil, Jose Maria Marin pula dijatuhi hukuman penjara empat tahun. – AFP

Tinggalkan komen anda