De Bruyne perancang terbaik dunia – Martinez


shadow

GLASGOW: Roberto Martinez melabel Kevin De Bruyne sebagai ‘perancang terbaik di dunia’ susulan sumbangan bintang tengah Manchester City itu ketika kemenangan 4-0 Belgium ke atas Scotland pada kelayakan Euro 2020, pagi tadi.

Sekali pun kehilangan kapten, Eden Hazard, Belgium membuktikan mengapa mereka berada di kedudukan ranking nombor satu dunia dengan De Bruyne tampil cemerlang menyumbat satu gol dan mencipta tiga umpanan.

Selepas meraih enam kemenangan daripada enam perlawanan dalam Kumpulan I, pasukan itu hanya memerlukan dua mata daripada baki empat perlawanan untuk mengesahkan tiket ke pusingan akhir kejohanan benua itu tahun depan.

“Bagi saya, dia perancang terbaik di dunia,” kata pengendali Belgium, Martinez. “Perancang menentukan tempo perlawanan, menyediakan hantaran yang sempurna dan memikul tanggungjawab. Dia (De Bruyne) melakukan semuanya ketika menentang Scotland.”

Martinez juga mengakui lega ada pemain yang mengambil tanggungjawab mengetuai pasukan yang terpaksa ditinggalkan Hazard.

“Saya benar-benar gembira dengan prestasi pemain berpengalaman kami terutama kerana Eden Hazard tidak berada di sini,” katanya. “Mereka mengambil alih tugas memimpin dan menunjukkannya dengan contoh, dan saya fikir Jan Vertonghen melakukannya dengan sempurna, dia benar-benar ketua yang hebat.”

Sekali pun dihujani pujian menggunung, De Bruyne enggan mendabik dada.

“Saya tidak mengharungi perlawanan berkelas dunia, saya hanya melakukan tugas saya,” kata De Bruyne. “Apabila karier kamu berakhir, kamu ingin menoleh ke belakang dan melihat apa yang kamu buat. Tetapi ketika ini saya hanya mahu memenangi perlawanan.” – Reuters

Tinggalkan komen anda