KUALA LUMPUR: Alhamdulillah. Syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa. Saya dan rakan dari Jakarta selamat mendarat di Kuala Lumpur.
Selepas mengharungi satu episod menonton perlawanan bola sepak yang paling berisiko dalam riwayat hidup saya, ia satu perkara yang tidak dapat digambarkan kekecohan masih berlaku lagi di zaman bola sepak moden ini.
Harimau Malaya akan meneruskan perjuangan dalam Kumpulan G, saingan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), esok.
Ayuh bangsa Malaysia. Turunlah beramai-ramai kita penuhkan SNBJ. Gelanggang keramat kita. Sokongan padu anda menyemarakkan lagi semangat pemain kita.
Kita adalah pemain ke-12 yang akan menggegarkan SNBJ. Sukan bola sepak adalah sukan yang menjadi pemangkin menyatukan bangsa Malaysia.
Ayuh hidupkan semangat tahun 70-an dan 80-an apabila kita beramai-ramai turun, tidak kira bangsa atau fahaman politik ke Stadium Merdeka suatu ketika dahulu.
Ayuh kita tolak segala isu perkauman. Kita adalah sehati sejiwa. Kita adalah bangsa Malaysia yang akan turun ke SNBJ. Sedarilah ke mana sahaja kita pergi, kita adalah anak Malaysia.
Kita sedar dan maklum akan kekuatan pasukan lawan nanti. Bola itu adalah bulat. Menang itu adalah suatu keajaiban, kalah itu adalah pasti, tetapi jika seri ia adalah suatu yang menakjubkan.
Menang, seri atau kalah kita tetap ‘ekor’ Harimau Malaya. Kita bangga dengan stadium yang besar dan kapasiti luas.
Semua itu tidak bermakna jika tiada bangsa Malaysia yang memenuhinya. Kehadiran kita memenuhi SNBJ mampu menggerunkan pasukan lawan dengan sorakan dan laungan kita.
Biarkan Ultras Malaya jadi Ultras Malaya. Kita bangsa Malaysia turut serta dalam suasana itu ‘Havoc & Chant’ bersama Ultras Malaya.
Kepada anak anak muda sertailah ‘curva’ Ultras Malaya. Bagi warga emas seperti saya marilah sertai ‘Oldtras’.
Saya menyeru agar jangan menjadikan ‘hooligans’ sebagai budaya kita. Jadilah bangsa Malaysia yang menyokong Harimau Malaya dan menghormati pasukan lawan.
Kami turun ke stadium sehati sejiwa. Malaysia…sehati sejiwa. – Yasran Hussain (Penulis adalah penyokong tegar Harimau Malaya)
Tinggalkan komen anda