United perlu bayar RM182.51 juta jika lepaskan Sanchez


shadow

LONDON: Manchester United terpaksa mengeluarkan belanja besar £36 juta (RM182.51 juta) jika perpindahan Alexis Sanchez ke Inter Milan secara pinjaman berubah menjadi tetap.

Wakil daripada kedua-dua kelab mengadakan perbincangan lanjut, semalam membabitkan perpindahan penyerang Chile itu ke Itali dengan Inter berharap perjanjian itu dapat dimuktamadkan pada minggu ini.

Perjanjian itu dijangka termasuk dengan pilihan untuk Inter menjadikan perpindahan itu secara tetap pada musim panas depan.

Tetapi difahamkan, kelab San Siro itu hanya merancang untuk menawarkan Sanchez kontrak dengan gaji tidak lebih £150,000 (RM760,312) seminggu jika mereka mengambil keputusan untuk membelinya.

Bintang Chile itu akan mencecah usia 31 tahun pada musim panas dan difahamkan, pengurusan tertinggi Inter berat hati untuk menanggung bebanan gaji tinggi berdasarkan usianya.

Ia membuatkan Sanchez berdepan pemotongan gaji yang besar sebanyak £350,000 (RM1.17 juta) seminggu dengan kontrak semasanya di Old Trafford adalah £500,000 (RM2.53 juta) seminggu, sesuatu yang jelas tidak diingini pemain berkenaan.

Justeru United yang terikat dengan kontrak perlu membayar baki gajinya selama dua tahun seperti yang tertakluk di dalam kontrak yang dianggarkan berjumlah £36 juta (RMRM182.51  juta).

Pilihan untuk menandatangani Sanchez secara tetap pada musim panas depan juga dipercayai sudah ditetapkan pada harga di bawah £15 juta (RM76.03 juta).

Jika Inter mengambil pilihan berkenaan, yuran perpindahan berkenaan akan meringankan beban hutang United tetapi seperti yang dilaporkan secara ekslusif oleh Sportsmail pada Mei lalu, kelab itu turut terpaksa membayar sebahagian besar daripada jumlah gaji Sanchez untuk memudahkan perpindahannya pada musim panas ini.

Tetapi ironinya, kelab itu akan berdepan satu lagi bil tinggi musim panas depan jika Inter menandatangani pemain berkenaan secara tetap. – Agensi

Tinggalkan komen anda