United beri bayangan jual Sanchez


shadow

LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi bayangan Alexis Sanchez akan meninggalkan Old Trafford sebelum jendela perpindahan Eropah ditutup.

Penyerang kelahiran Chile itu bergelut untuk mengembalikan prestasi terbaiknya di United sejak tiba dari seteru Liga Perdana, Arsenal tahun lalu dengan masa depannya terus menjadi perdebatan sehingga kini.

Pemain berusia 30 tahun itu hanya meledak lima gol dalam 45 penampilannya bersama Red Devils manakala beberapa siri kecederaan mengganggu perkembangannya.

Justeru, timbul spekulasi yang menyatakan United berusaha untuk melengkapkan perpindahan Sanchez sebelum jendela perpindahan kelab Eropah ditutup pada awal bulan depan dengan kelab Serie A, Inter Milan antara yang kuat dikaitkan dengan kepulangan semulanya ke Itali.

Selepas menafikan laporan yang mengatakan Sanchez diarahkan untuk berlatih bersama skuad simpanan United, minggu lalu, Solskjaer akhirnya memberi bayangan selepas perlawanan dengan Wolves, awal pagi tadi yang penyerang bintangnya itu berkemungkinan akan dilepaskan.

Ketika ditanya perkembangan membabitkan masa depan Sanchez, pengendali dari Norway itu berkata: “Tiada. Kita lihat apa yang akan berlaku dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Masih ada beberapa minggu bagi perpindahan antarabangsa. Ketika ini, dia pemain kami.”

Sanchez masih belum bermain musim ini apabila bergelut dengan masalah kecergasan selepas pulang lewat ke latihan pra-musim berikutan pembabitannya di Copa America.

Jika dia kekal di Old Trafford, perebutan untuk beraksi dalam skuad utama masih sengit sekali pun selepas perpindahan Romelu Lukaku ke Inter dengan Marcus Rashford dan Anthony Martial menjadi pilihan utama Solskjaer ketika ini. – Agensi

Tinggalkan komen anda