The Speedy Jantan dapat tiket ke Filipina


shadow

KUALA LUMPUR: Peluang jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan untuk mempertahankan pingat emas 100 meter (m) di Sukan SEA Filipina 2019 belum tertutup selepas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi talian hayat kepadanya.

Ia susulan tindakan KOM menyenaraikan ‘anak emas’ mereka itu di bawah kategori B sekalipun dia gagal melepasi had kelayakan 10.43 saat (s) seperti yang ditetapkan.

Dalam aksi final 100m Kejohanan Olahraga KOM Jumaat lalu, pelari berusia 22 tahun itu sekadar melakar kepantasan 10.71s untuk tiba ke garisan penamat di belakang pemenang Haiqal Hanafi (10.59s).

Namun, Jawatankuasa Pemilihan KOM yang bermesyuarat di Stadium MSN secara rambang meletakkan ‘Speedy Jantan’ dalam kuartet 4x100m bersama Haiqal, Zulfiqar Ismail dan Nixon Kennedy.

Nasib serupa menimpa ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli apabila namanya juga hanya disenaraikan dalam kategori B bagi acara 4x100m.

Menurut, ketua jurulatih negara, Manshahar Abdul Jalil, keputusan itu tidak bermakna peluang Khairul Hafiz mahupun Zaidatul untuk beraksi dalam acara 100m sudah tertutup.

“Kita sebenarnya meletakkan nama atlet dalam kategori B dulu termasuk beberapa atlet yang terbaik dalam ranking 100m negara.

“Mereka ini kita letakkan dalam acara 4x100m sebagai fokus utama kita dulu. Tetapi peluang tetap ada untuk mereka ini beraksi dalam acara 100m bersama Jonathan Nyepa yang sudah layak.

“Senarai ini hanya untuk diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana penyertaan atlet dan nama perlu sampai ke penganjur Sukan SEA sebelum 2 September,” katanya.

Antara atlet yang turut disenaraikan di bawah kategori B ialah atlet lompat jauh para, Abdul Latif Romly yang gagal melepasi had kelayakan semalam, selain Iskandar Alwi (lompat bergalah).

Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, skuad seramai 18 atlet lelaki dan lapan wanita diharap mampu mengatasi pencapaian lapan emas pada Kuala Lumpur 2017 walaupun pihaknya hanya menetapkan sasaran awal lima emas.-BH

Tinggalkan komen anda