Syahir, Zulkifli terima surat tunjuk sebab


shadow

SELEPAS menunggu kira-kira dua bulan, dua bekas tekong emas negara akhirnya menerima surat tunjuk sebab daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Surat dterima Mohd Syahir Rosdi dikatakan setebal 48 muka surat manakala Muhammad Zulkifli Abd Razak setebal 37 muka yang bertarikh 24 Ogos seperti yang tersebar di media sosial.

Syahir ketika ditanya mengenainya, mengesahkan surat dialamatkan ke rumah keluarganya di Kedah.

Ditanya perancangannya sama ada mahu menjawabnya atau sebaliknya, Syahir menjelaskan belum membuat keputusan dan membincangkannya bersama Zulkifli.

Zulkifli secara ringkas turut mengesahkan sudah mendapat surat tunjuk sebab berkenaan.

Arena Metro melaporkan kedua-duanya digugurkan PSM dari skuad negara penghujung Jun lalu atas alasan disiplin selain digantung sementara.

Namun mereka kemudiannya tampil menafikannya selain menjelaskan ia berpunca daripada sistem elaun kendalian badan induk sepak takraw negara itu.

Terdahulu, isteri Zulkifli menerusi akaun Facebook mendedahkan antara yang menjadi punca kegagalan suaminya tidak menghadiri latihan seperti didakwa.

Jelasnya, anak yang sakit sehingga terpaksa menjalani pembedahan antara sebab Zulkifli gagal hadir.

Menurut isterinya lagi, pada awal Februari, anaknya jatuh dari dukungan pengasuh sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan.

“Suami dapat surat dari hospital dan di bawah pengetahuan coach (jurulatih),” antara yang diluahkan isteri Zulkifli.

Selain itu menurutnya, pada Mei, anaknya turut dimasukkan ke hospital kerana influenza selain mempunyai surat serta di bawah pengetahuan jurulatih.

Turut dijelaskan adalah kelewatan surat PSM menyebabkan Zulkifli tidak mendapat surat pelepasan dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada Januari.

“Akhir kata saya yakin suami saya tidak ponteng tanpa sebab dan semuanya di bawah pengetahuan dan kebenaran jurulatih,” tulisnya.

Ibu kepada dua cahaya mata berkenaan turut berkongsi antara kandungan surat tunjuk sebab berkenaan yang menunjukkan Zulkifle didakwa tidak hadir latihan tanpa alasan selain bukti anaknya dimasukkan ke wad.

-myMetro

Tinggalkan komen anda