Stigefelt tetap bangga prestasi Folger


shadow

KUALA LUMPUR: Johan Stigefelt sudah menjangkakan satu perlumbaan sukar buat pengganti sementara Khairul Idham Pawi, Jonas Folger di Grand Prix (GP) Republik Czech, semalam. 

Folger menggantikan Khairul Idham pada ‘saat akhir’ dan hanya memulakan minggu saingan di Litar Brno pada Sabtu selepas pelumba asal yang dikenali SuperKIP kembali merasai sakit di bahagian jari kelingking kanannya yang menjalani pembedahan susulan kecederaan serius, Mei lalu. 

“Ia sentiasa menjadi sukar untuk Jonas (Folger) untuk menyertai pasukan pada Sabtu dan keadaan cuaca juga bermakna kami hilang sehari latihan,” kata Stigefelt yang memegang jawatan selaku Pengarah Pasukan Moto2 PETRONAS Sprinta Racing itu.

Pelumba Jerman itu memulakan perlumbaan dari petak ke-28 – barisan paling belakang – namun menamatkan saingan 19 pusingan itu di tempat ke-19 dengan catatan 39 minit 22.747 saat.

“Daripada petak permulaannya, kami menjangkakan satu perlumbaan sukar dan babak pertama saingan tidaklah begitu bagus namun di babak seterusnya, dia tampak lebih kuat dan melakukan catatan sepusingan yang kompetitif. 

“Mungkin kami mahukan sesuatu yang lebih lagi, tetapi dengan apa yang berlaku, tidak ada apa yang mampu dilakukan lagi.”

Folger sebelum ini pernah menggantikan tempat SuperKIP untuk tiga pusingan di GP Catalunya, Belanda dan Jerman.

“Kami sudah berusaha gigih untuk menyelesaikan banyak isu dan itu bermakna sudah banyak usaha sudah dilakukan. Saya menikmati perlumbaan dan adalah sesuatu yang baik apabila dapat memberi saingan dengan beberapa pelumba lain,” kata Folger. 

Pusingan ke-11 musim dijadual berlangsung di GP Austria dari 9 hingga 11 Ogos ini.

Tinggalkan komen anda