Spurs cari penawar di Emirates


shadow

MANCHESTER: Tottenham Hotspur terdesak untuk mengembalikan keyakinan mereka dan pertemuan dengan seteru tradisi utara London, Arsenal akan memberi tonik terbaik.

Spurs dikejutkan dengan kekalahan kepada Newcastle United di laman sendiri hujung minggu lalu.

Dengan pengendali Mauricio Pochettino masih bimbang akan kehilangan pemain menjelang tarikh akhir jendela perpindahan Eropah, suasana di kelab yang muncul naib juara Liga Juara-Juara itu sedikit berbeza.

Penyerang Brazil Lucas Moura berkata, pertemuan tetangga bakal mencetus semangat baharu buat Spurs.

“Adakah ini perlawanan terbaik buat kami selepas kekalahan kepada Newcastle? Iya. Kami perlu memandang ke hadapan. Banyak perlawanan sukar menanti. Kami perlu kembali bekerja dan menang perlawanan seterusnya menentang Arsenal,” kata Moura.

Arsenal juga terdesak mengelak kekalahan pada pertemuan tetangga itu selepas tewas 3-1 kepada pendahulu awal, Liverpool.

Pengendali dari Sepanyol, Unai Emery mungkin akan meletakkan tiga serangkai di barisan depan buat pertama kali dengan pemain baharu Nicolas Pepe beraksi cemerlang di sayap kanan untuk bergandingan dengan Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Pertahanan Brazil David Luiz, yang dibeli dari Chelsea akhir musim lalu, bergelut mengekang asakan pemain Liverpool Mohamed Salah di Anfield dan perlu meningkatkan prestasinya apabila berdepan Harry Kane dan Son Heung-min.

Liverpool bertandang ke Burnley pada Sabtu – perlawanan yang dianggap sukar oleh pengendali juara Eropah itu, Jurgen Klopp.

Juara bertahan Manchester City yang ketinggalan dua mata di belakang Liverpool, dijangka tidak berdepan masalah di Etihad bertemu Brighton.

Selepas menewaskan Chelsea 4-0 pada aksi pembukaan, Manchester United kendalian Ole Gunnar Solskjaer seri di Wolves dan tewas di tangan Crystal Palace. Kunjungan ke Southampton Sabtu ini akan menguji kemampuan skuad muda United untuk bangkit.

Chelsea kendalian legenda kelab, Frank Lampard yang masih segar dengan kemenangan pertama musim ini di Norwich City, melayan kunjungan Sheffield United. – REUTERS

Tinggalkan komen anda