Semangat Umar Al Matin makin membara


shadow

AYER KEROH: Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Melaka, Umar Usman Abu Bakar atau dikenali Umar Al Matin berjaya meraih tali pinggang Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya pada Kejohanan Muay Thai Amatur dan Profesional Negeri Melaka di Dewan Bestari, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Dia yang baru berusia 18 tahun bagaimanapun berdepan saingan sengit lawannya Mohd Azwan Afiq Azam, 21 atau Hafiz Welding dari Kelab GYM Muaythai Negeri Sembilan menerusi kiraan mata tiga pusingan sebelum disahkan memenangi tali pinggang terbabit.

Umar berkata, kejayaan berkenaan membakar semangatnya untuk memenuhi sasaran merangkul pingat emas di SUKMA Johor 2020.

“Sokongan keluarga, pengurusan, jurulatih, penyokong serta fokus jitu dan semangat diakui menjadi resipi kejayaan.

“Apapun latihan agresif dan menyertai banyak pertandingan menjelang SUKMA akan terus menjadi antara persediaan penting dalam memenuhi misi terbabit,” katanya yang mewakili Persatuan Muaythai Negeri Melaka.

Kejohanan membabitkan 52 peninju itu dirasmikan oleh Marzuki. 

Sementara itu, Presiden PMNM, Haris Alias berkata, sokongan semua pihak terutama penggiat sukan berkenaan amat membanggakan.

Katanya, antara pemenang termasuk Fakhrul Hadi (Penyu Mas ,Terengganu) bagi kategori 60kg dan Mat Korro  Nook Kok Supergame (Johor) yang meraih tali pinggang prestige waves.

Beliua berkata, beberapa bakat baharu dipilih untuk menjalani latihan bersama pasukan Sukma Melaka di bawah kendalian jurulatih, Emrita Alias.

Tinggalkan komen anda