Sasaki keenam GP British, McPhee ketujuh


shadow

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki merekodkan salah satu pencapaian terbaik dalam kariernya apabila menamatkan saingan perlumbaan Grand Prix (GP) Britain di Litar Silverstone di tempat keenam, hari ini.

Rakan sepasukannya, John McPhee dari Britain yang memperoleh khabar gembira minggu ini susulan lanjutan kontraknya bersama pasukan menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh.

“Kami mengharungi minggu yang baik dan kami menemui sesuatu ketika sesi pemanas badan yang menambah lagi kekuatan kami. Pasukan melakukan tugas dengan hebat sejak dari awal sehinggalah tamat perlumbaan.

“Saya mungkin belum cukup bagus untuk menamatkan saingan di kedudukan podium tetapi kami semakin menghampirinya. Saya gembira dapat bersaing dengan kumpulan pendahulu,” kata Sasaki selepas tamat perlumbaan.

McPhee dalam pada itu mempunyai peluang terbaik bagi menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga teratas tetapi kesilapan di pusingan akhir menyaksikan dia sekadar berpuas hati dengan kedudukan di tempat ketujuh.

Perlumbaan itu dimenangi pelumba Sepanyol, Marcos Ramirez yang membawa cabaran pasukan Leopard Racing manakala Tony Arbolino daripada pasukan VNE Snipers menamatkan saingan di tempat kedua.

Tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukan Ramirez, Lorenzo Dalla Porta.

Tinggalkan komen anda