Sanchez akhiri mimpi buruk di Old Trafford


shadow

LONDON: Manchester United bersetuju untuk meminjamkan Alexis Sanchez kepada Inter Milan.

Kelab Itali itu akan membayar 4.5 juta pound (RM23.2 juta) kepada pemain Chile itu dan gaji tahun sebanyak 21 juta pound (RM108.5 juta) setahun.

Sanchez dijangka tiba di Milan hari ini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan bergabung kembali dengan bekas rakan sepasukan Romelu Lukaku.

Rundingan antara kedua-dua kelab sudah berlangsung lama, dan United dilaporkan sebelum ini mahu Inter memasukkan syarat membeli pemain itu dengan tambahan 20 juta pound (RM103.3 juta).

Perpindahan sementaranya dari United menamatkan mimpi ngeri dalam karier pemain 30 tahun itu.

Sanchez menolak tawaran daripada juara Liga Perdana Manchester City untuk kontrak lebih lumayan bersama United pada Januari 2018 menerusi pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan yang berpindah ke Arsenal.

Bagaimanapun bintang Sanchez semakin malap seiring dengan prestasi kelab berkenaan. Dia bergelut ketika di bawah Jose Mourinho dan hanya meningkat sedikit ketika kedatangan Ole Gunnar Solskjaer.

Dia hanya menjaringkan lima gol dalam 45 penampilan dengan gaji 400,000 pound (RM2.07 juta) seminggu.

Solskjaer kini akan memberikan peluang kepada pemain remaja Mason Greewood untuk menyerlah dalam skuad utama manakala usaha mendapatkan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund akan digerakkan tahun depan. – AGENSI

Tinggalkan komen anda