Ruhainies risau kekasih diganggu



KUALA LUMPUR: Pelakon, Ruhainies, menegaskan dirinya dan kekasih, Mr E, tidak berdepan masalah walaupun mereka menjalinkan hubungan cinta jarak jauh.

Saling mempercayai, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27, mengakui kebimbangan lebih menjurus kepada anasir yang datang daripada pihak luar.

“Apabila bercinta jarak jauh, kami selalu mengingatkan sesama sendiri supaya saling mempercayai. Apa yang penting adalah komunikasi dan selalu berhubung. Malah, sekarang dia juga sering pulang ke Malaysia dari United Kingdom.

“Segelintir pihak mungkin menganggap cinta jarak jauh menyusahkan dan membebankan. Lain pula dengan kami yang semakin hari semakin sayang. Paling merisaukan adalah apabila ada yang berniat untuk merampas kekasih saya.

“Sebab itu saya tidak terlalu terbuka atau mendedahkan siapa dirinya. Seperti wanita lain, tentunya saya risau dan cemburu kalau kekasih diganggu. Apatah lagi, tidak semua orang sukakan kita,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya pula, buat waktu ini, Ruhainies cuba mengelak daripada menerima undangan lakonan yang memakan masa panjang.

“Saya memilih untuk tidak mengambil tawaran yang memakan tempoh panjang kerana mahu fokus dengan persiapan perkahwinan kakak, Risteena, yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Jika boleh, saya tidak mahu ketinggalan mana-mana majlis yang diadakan kerana ia cuma berselang beberapa hari,” katanya.

Ruhainies juga mengakui dirinya amat mencintai kerjaya lakonan.

“Saya tidak mahu hanya dikenali kerana kisah peribadi semata-mata. Tetapi, saya sendiri bingung memikirkan, kenapa cerita peribadi lebih menjadi perhatian ramai, berbanding produk dalam bidang seni,” kata Ruhainies.

Tinggalkan komen anda