Rudiger beri Chelsea kelegaan


shadow

LONDON: Pertahanan tengah Chelsea, Antonio Rudiger menghampiri kecergasan penuh selepas melengkapkan aksi 90 minit bersama skuad Bawah 23 tahun Blues yang meraih kemenangan 3-0 ke atas Liverpool, semalam.

Beraksi di depan ketua jurulatih, Frank Lampard, pemain kebangsaan Jerman itu membuat penampilan sulungnya selepas dipalit kecederaan lutut ketika perlawanan menentang Manchester United, April lalu.

Selepas diketepikan bagi keseluruhan kempen pra-musim, Rudiger kembali menjalani latihan penuh pada bulan ini dan membuktikan kemampuannya bersama skuad pembangunan Chelsea bersama seorang lagi pemain skuad utama, Michy Batshuayi.

Pemain itu menggunakan laman Twitter untuk menyuarakan kelegaan. “Kembali ke padang selama 90 minit. Terima kasih kepada skuad pembangunan @ChelseaFC.”

Kehadiran Rudiger jelas berita yang dialu-alukan oleh Lampard, yang masih belum memenangi sebarang perlawanan kompetitif sejak mengambil alih kelab itu.

Lampard hanya memiliki tiga pertahanan tengah – Andreas Christensen, Kurt Zouma dan pemain muda, Fikayo Temori – yang boleh disenaraikan bagi kempen musim ini selepas kehilangan David Luiz ke Arsenal dan Gary Cahill ke Crystal Palace.

Christensen dan Zouma menjadi pilihan bekas pemain England itu itu setakat ini sekali pun dikritik hebat susulan kekalahan besar 0-4 kepada United pada aksi pembukaan Liga Perdana.

Bekas pertahanan Blues, Ashley Cole, yang mengumumkan persaraannya daripada bola sepak minggu lalu menegaskan tiada sebab untuk Chelsea menekan butang panik tetapi ada beberapa isu yang perlu diselesaikan Lampard.

“Chelsea mempunyai barisan pemain dan semua orang menjangkakan mereka akan berada di kedudukan empat atau enam terbaik, tetapi Liga Perdana sudah berubah,” kata Cole. “Pengurus memerlukan masa, pemain memerlukan masa dan saya tidak berfikir semua orang perlu panik.” – Agensi

Tinggalkan komen anda