Robben tak tolak kembali ‘sarung but’


shadow

LONDON: Legenda Belanda, Arjen Robben tidak menolak kemungkinan keluar daripada persaraan.

Bekas pemain sayap berusia 35 tahun itu mengumumkan persaraannya, Julai lalu selepas memenangi pelbagai gelaran di Jerman, Belanda, England dan Sepanyol sepanjang 19 tahun kariernya.

Memulakan kerjayanya di Groningen sebelum berpindah ke PSV, Robben kemudian dipikat Chelsea sebelum menyertai Real Madrid dan Bayern Munich.

Selepas meninggalkan Bayern dan menggantung butnya, Robben berkata dia sedia untuk menimbang kemungkinan kembali ke padang jika dia bergelut dengan kehidupan tanpa bola sepak.

“Saya sentiasa berkata, tidak pernah berkata tidak,” kata Robben. “Mungkin dalam tempoh sebulan atau dua bulan saya merasai perasaan yang aneh dan saya merindui sesuatu perkara itu terlalu banyak, saya mungkin akan memutuskan untuk kembali.

“Tetapi sudah tentu ia tidak mudah berdasarkan selama mana kamu sudah bersara. Saya tidak mahu meletakkan peluang untuk kembali dengan amat tinggi.”

Robben yang menjaringkan gol kemenangan ketika Bayern menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2013 meninggalkan juara Jerman itu selepas membantu pasukannya memenangi gelaran ketujuh berturut-turut Bundesliga musim lalu.

Jika dia mengambil keputusan berkenaan, kelab-kelab dari China atau Liga Major Amerika pasti berlumba-lumba untuk mendapatkan khidmatnya selain kelab dari liga negara kelahirannya, Eredivisie. – Agensi

Tinggalkan komen anda