Rakan senegara jadi penghalang Peng Soon-Liu Ying


shadow

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menganggap rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan menjadi cabaran terbesar buat mereka untuk melangkah jauh pada Kejohanan Dunia 2019.

Kedua-dua pasangan itu mendapat bye di pusingan pertama pada kejohanan di Basel, Switzerland itu namun jika berjaya menewaskan lawan masing-masing di pusingan kedua, mereka akan membuat perhitungan antara satu sama lain bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Atas kertas, kelebihan memihak kepada Peng Soon-Liu Ying yang menang kedua-dua pertemuan ke atas Soon Huat-Shevon sebelum ini.

Bagaimanapun, Liu Ying merasakan saingan Kejohanan Dunia akan menjadi cabaran berbeza buat kedua-dua pasangan dengan masing-masing pastinya mahukan memberikan aksi terbaik bagi melakar kemenangan.

“Kalau lihat kepada rekod pertemuan, memang kami menang kedua-duanya. Namun, jika dilihat keputusannya, jurang mata sangat dekat.

“Jadi, kami tidak boleh memandang mudah, kami perlu berhati-hati. Secara keseluruhannya, undian kali ini tidaklah mudah untuk kami tetapi kami berharap mampu melangkah sejauh mungkin,” kata Liu Ying kepada BH Sukan.

Di pusingan kedua, Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 akan bertemu sama ada pasangan Ireland, Sam Magee-Chloe Magee atau Joshua Hurlburt-Yu Josephine Wu dari Kanada.

“Sebelum kami memikirkan mengenai perlawanan menentang Soon Huat-Shevon, kami perlu fokus perlawanan pusingan kedua. Kami tidak boleh memandang mudah perlawanan pusingan kedua biarpun menentang lawan yang lebih lemah.

“Jika menang, baru kami fikirkan aksi seterusnya, kami mahu fokus satu demi satu perlawanan. Apa yang pasti, jika bertemu dengan Soon Huat-Shevon, ia akan menjadi perlawanan sukar kerana bukan mudah menentang rakan senegara apatah lagi kami pernah jadi rakan sepasukan,” kata Peng Soon.

Soon Huat-Shevon yang bakal membuat penampilan kedua pada Kejohanan Dunia tahun ini akan menentang pemenang perlawanan antara pasangan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara dengan Adam Hall-Julie Macpherson dari Scotland di pusingan kedua.

Sama ada Peng Soon-Liu Ying atau Soon Huat-Shevon yang memenangi pertembungan antara mereka, pasangan Jepun yang juga pilihan ketiga, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dijangka menanti di suku akhir.

Tinggalkan komen anda