Pique mahu Coutinho kekal di Nou Camp


shadow

MIAMI, Amerika Syarikat: Gerard Pique mahu bintang Brazil, Philippe Coutinho kekal di Barcelona disebalik minat yang ditunjukkan kelab Liga Perdana.

Coutinho tiba di Barcelona dari Liverpool dengan rekod 160 juta euro (RM751.78 juta) 18 bulan lalu tetapi gagal memikat pengendali, Ernesto Valverde yang mahu dia meninggalkan kelab berkenaan sebelum kempen La Liga musim ini bermula pada 16 Ogos.

Barca sedang mencari jalan untuk melepaskan perancang berusia 27 tahun itu dengan sumber memberitahu AFP perjanjian kepulangan semula ke Liga Perdana sebagai ‘berkemungkinan besar.’

Tetapi, dia turut berada di Miami bagi mengharungi perlawanan persahabatan dengan Napoli di Stadium Hard Rock.

Sekali pun Arsenal sudah menjauhkan diri daripada spekulasi berkenaan, kelab di utara London Tottenham kini kuat dikaitkan dengan perpindahan itu.

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino pernah melatih Coutinho di Espanyol untuk jangka masa singkat dan mengekalkan hubungan baik dengan pemain berkenaan.

Pochettino begitupun perlu mengosongkan tempat dalam skuadnya terlebih dulu dengan menjual pemain tengah Denmark, Christian Eriksen ke Manchester United dengan yuran perpindahan dikatakan sekitar AS$60 juta dolar (RM251.36 juta).

Selain itu, gaji tinggi Coutinho AS$350,000 (RM1.46 juta) seminggu turut mencetus masalah bagi mengeluarkannya dari Nou Camp.

Tetapi Pique yang juga pemain kebangsaan Sepanyol berkata: “Saya mahu dia (Coutinho) kekal, tetapi pada akhirnya ia adalah mengenai apa yang dia inginkan dan saya mahu dia gembira.

“Kita tunggu dan lihat. Sehingga hari terakhir perpindahan pemain kita akan tahu jika dia kekal atau tidak. Ia bukan keputusan saya, ia membabitkan kelab dan Philippe.” – AFP

Tinggalkan komen anda