Nuno bimbang VAR ‘rosakkan’ Liga Perdana


shadow

WOLVERHAMPTON: Ribuan penyokong Wolverhampton Wanderers menghamburkan kata-kata kejian terhadap Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika pengendalinya Nuno Espirito Santo menyuarakan kebimbangan sistem berkenaan mampu merosakkan keghairahan di Liga Perdana.

Diperkenalkan buat pertama kali di Liga Perdana musim ini, sistem VAR membatalkan jaringan Wolves ketika bertemu Leicester City dalam aksi pembukaan yang berakhir seri 0-0, minggu lalu.

Wolves sekali lagi perlu mengharungi situasi sama apabila VAR menghentikan perlawanan selama beberapa minit ketika mereka bertemu Manchester United, awal pagi tadi yang berakhir 1-1 apabila ulang tayang diperlukan bagi meneliti jaringan penyamaan Ruben Neves pada babak kedua.

Sekali pun gol itu disahkan di sebalik potensi ofsaid Joao Moutinho, pengurus Wolves, Nuno tetap tidak berpuas hati dengan menyatakan VAR berpotensi membunuh semangat permainan. 

“Apa yang saya bimbangkan ialah kami akan takut untuk meraikan jaringan,” kata Nuno. “Tenaga di Molineux, bunyinya, suasana, kamu tidak boleh kehilangan perkara ini. Mereka perlu mencari jalan penyelesaian mengenainya, tolonglah lakukannya.”

Bos United, Ole Gunnar Solskjaer berkata ulang tayang VAR digunakan dengan baik bagi menilai semula jaringan Neves tetapi proses berkenaan sepatutnya dipercepatkan.

“Kami mahu ia diputuskan dengan lebih cepat tetapi sudah tentu, ia adalah keputusan yang penting,” katanya. “Saya lebih suka ia adalah betul dan tidak salah, dan menjadikannya kepada hanya 15 saat. Lebih pantas ia berjalan, lebih baik.”

Pada perlawanan itu, United terlebih dulu mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan Anthony Martial sebelum Neves menyamakan kedudukan diikuti kegagalan Paul Pogba menyempurnakan penalti. – Reuters

Tinggalkan komen anda