Neymar penuhi ‘impian’ Netflix


shadow

NEYMAR menyatakan dia “memenuhi” impiannya dengan penampilan seketika dalam rancangan Netflix kegemarannya ketika ada perkembangan terbaharu mengenai drama perpindahannya di Paris Saint-Germain.

Penyerang Brazil itu tidak sabar untuk kembali ke Sepanyol dengan kedua-dua Barcelona dan Real Madrid cuba memuktamadkan perjanjian sebelum jendela perpindahan Eropah ditutup Isnin ini.

“Kami meneruskan rundingan, kami semakin hampir memuktamadkannya,” kata pengarah Barca, Javier Bordas kepada wartawan di lapangan terbang Barcelona selepas kembali daripada pertemuan dengan pegawai PSG di ibu negara Perancis itu.

Namun beliau berkata: “Ketika ini belum ada sebarang perjanjian.”

Menurut akhbar Perancis, Le Parisien, bekas kelab Neymar itu meningkatkan tawaran mereka kepada 170 juta euro (RM792 juta), dibayar secara ansuran dua kali dengan kemungkinan disertakan pemain lain.

PENAMPILAN seketika Neymar dalam siri Netflix. — FOTO AS English

Barca menjual pemain berusia 27 tahun itu kepada PSG pada 2017 dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.03 bilion).

Terdahulu Neymar mengepos dalam Twitter perasaan gembiranya tampil dalam drama jenayah Netflix, La Casa de Papel (Money Heist).

Pada awalnya babak membabitkan Neymar disunting bergantung kepada hasil siasatan kes rogolnya.

Sebaik polis Brazil menamatkan siasatan mereka bulan lalu, Netflix menyiarkan episod yang termasuk penampilan penyerang PSG itu.

“Saya berjaya memenuhi impian dan menjadi sebahagian daripada siri kegemaran saya. Kini saya boleh berkongsi Joao (karakternya) bersama anda semua! Terima kasih @lacasadepapel!” katanya kepada pengikut Twitter.

Tinggalkan komen anda