LONDON: Pengurus skuad wanita kebangsaan England, Phil Neville percaya pemain bola sepak harus memboikot media sosial selepas pemain tengah Manchester United, Paul Pogba menjadi mangsa berprofil tinggi terbaru berdepan serangan perkauman di internet.
Pogba menjadi sasaran selepas penaltinya diselamatkan ketika United terpaksa berpuas hati seri 1-1 bertemu Wolves pada perlawanan Liga Perdana, semalam dan ia berlaku beberapa hari selepas penyerang Chelsea, Tammy Abraham turut mengharungi insiden sama.
“Saya fikir kita mungkin perlu mengambil langkah yang drastik dalam komuniti bola sepak sekarang, saya sudah melakukannya terhadap media sosial, pemain saya, bintang-bintang Liga Perdana dan Kejuaraan juga melakukannya,” kata kata Neville.
“Saya tertanya-tanya jika kami menghentikan media sosial di dalam komuniti bola sepak. Kerana Twitter tidak melakukan apa-apa mengenainya, Instagram tidak melakukan apa-apa, mereka menghantar kamu balasan email yang mengatakan mereka akan melakukan siasatan tetapi tiada apa yang berlaku.
“Saya sudah hilang kepercayaan kepada sesiapa saja yang mengendalikan media sosial, jadi ayuh kita menghantar mesej yang berkuasa, keluar daripada media sosial selama enam bulan. Ayuh kita lihat apa kesannya terhadap syarikat media sosial ini.”
Pertahanan United, Harry Maguire juga menggesa gergasi media sosial Twitter dan Instagram untuk menjadi lebih proaktif bagi menghentikan ‘troll yang menyedihkan.’
“Menjijikkan. Media sosial perlu melakukan sesuatu mengenainya,” kata Maguire yang juga pemain pertahanan termahal dunia di Twitter. “Setiap akaun yang dibuka sepatutnya disahkan menerusi pasport atau lesen memandu. Hentikan ‘troll’ yang menyedihkan dengan mencipta akaun untuk menyakitkan orang lain.”
Sesetengah ‘tweet’ yang disasarkan kepada Pogba kemudian dipadam manakala beberapa akaun turut dipadam dengan terma dan syarat Twitter menyatakan mereka “mengambil tindakan terhadap tingkah laku yang mensasarkan individu yang melakukan kebencian.”
United dalam pada itu berkata mereka ‘jijik’ dengan serangan berkenaan. “Individu yang meluahkan perkara seperti ini tidak mewakili nilai kelab hebat kami dan hebat untuk melihat sebahagian besar peminat kami mengutuk perkara ini di media sosial,” kata kelab itu dalam satu kenyataan. – AFP
Tinggalkan komen anda